twitter

- Tragedi Ribut Tropika Greg - 26 Dis 1996

Pada mulanya ia hanya desiran angin yang nyaman di kalangan penduduk beberapa daerah terutama di Keningau, Sabah. Kemudian, desiran angin mula disertai hujan yang lebat mencurah, dentuman guruh dan paluan kilat mengiringi bertalu-talu. Ketika jam menunjukkan sekitar 4 pagi pada 26 Disember 1996, angin itu mula berdesir semakin laju sehingga mencecah 80 kilometer sejam.
Rumah dan kediaman di beberapa daerah sekitar Sabah terutama di Keningau mula runtuh dilanda kelajuan angin berkenaan yang sudah menjadi ribut ganas, pelbagai objek mula berterbangan, air sungai mula melimpah dan banjir kilat besar berlaku. Kebanyakan penduduk yang sedang tidur ketika itu terjaga dalam ketakutan.
Suasana terus menjadi kelam-kabut dan riuh-rendah suara jeritan penduduk yang cemas tenggelam dalam ribut yang semakin menggila. Seolah-olah alam sedang mengamuk malam itu, tidak pernah petaka sedahsyat itu berlaku di kawasan terbabit sebelum ini.
Penduduk segera meluru keluar dari rumah berlari untuk mendapatkan perlindungan.

Ribut Tropika Greg melanda Sabah dengan kawasan paling teruk terjejas adalah Keningau manakala Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Tuaran, Beaufort hanya mengalami kerosakan kecil. Bencana alam itu dipercayai mengorbankan mangsa paling ramai dalam sejarah tragedi bencana alam di Malaysia; lebih 200 mangsa terkorban dan 102 lagi hilang dalam ribut yang berlaku selama kira-kira lima jam, bermula jam 1 pagi dan berakhir sekitar 6.30 pagi.Di Keningau, kemusnahan dua kampung berhampiran Sungai Pampang iaitu Kampung Pampang dan Limbawan ibarat ‘padang jarak padang tekukur’ manakala sebuah kampung dikenali Batu Satu atau Kandang Ayam yang didiami kebanyakan warga Indonesia keturunan Tator, musnah sama sekali.
Sembilan kampung ditenggelami banjir kilat sekali gus merosak dan menghanyutkan sejumlah 500 rumah penduduk di tebing sungai. Kira-kira 3,000 penduduk kehilangan tempat tinggal. Perhubungan ke Keningau dari Kota Kinabalu, terputus berikutan dua jambatan utama di Sungai Liawan dan Pegalan dihanyutkan banjir besar.Sebahagian bukit berhampiran Gunung Emas di Tambunan pula runtuh dan menutupi jalan raya sekali gus memutuskan perhubungan dari ibu negeri ke Tambunan dan Keningau.

Paling menyayat hati apabila mengenangkan ramainya mangsa yang terkorban. Kebanyakan mangsa maut kerana dipercayai sedang tidur ketika rumah mereka dihanyutkan arus deras dari kawasan bukit di lereng Banjaran Croker antara jam 3 pagi dan 4 pagi.
Sebaik ribut berakhir sebaik siang menjelma, operasi menyelamat dan mencari mangsa segera dijalankan.
Ketika itulah, pemandangan ngeri jelas kelihatan dengan mayat bergelimpangan dalam keadaan mengerikan termasuk ada yang bogel dan tersangkut di tunggul kayu selain mayat kepala bayi terpacul daripada kemaluan ibu yang turut terbunuh. Beberapa mayat turut ditemui dalam rangka rumah yang dihanyutkan banjir kilat.
Hari pertama gerakan menyelamat dijalankan, 107 orang disahkan terbunuh dan kira-kira 150 lagi hilang. Kerja mengeluarkan mayat mangsa tragedi di beberapa sungai agak sukar kerana mereka tertimbus di dasar serta ditindih pokok dan kayu serta lumpur tebal selain kurang peralatan dan kelengkapan bomba untuk dibawa ke lokasi kejadian berikutan terputusnya hubungan jalan darat antara Keningau dan daerah lain.
Pada hari ketiga gerakan mencari dijalankan, 15 lagi mayat mangsa tragedi ribut itu dijumpai.
Menjelang ketibaan tahun baru 1997, mayat terus ditemui dan selepas dimakan hari, jasad yang ditemui semakin mengerikan dan dalam keadaan reput serta busuk.
Pada 12 Januari 1997 iaitu selepas lebih dua minggu operasi diteruskan, akhirnya gerakan mencari mangsa dihentikan. Lebih 200 penduduk terkorban dalam tragedi itu dan 102 lagi masih diklasifikasikan sebagai hilang sehingga kini.

Kerosakan besar hasil ribut dahsyat itu menyebabkan Kerajaan Sabah kerugian lebih RM130 juta. Sebanyak 4,924 rumah penduduk runtuh dan rosak kerana dihanyutkan banjir manakala 39 sekolah turut rosak membabitkan kerugian RM1.5 juta. Kerajaan negeri juga terpaksa membelanjakan RM12 juta membersihkan sungai di Keningau.
Tragedi Ribut Tropika Greg yang mengorbankan lebih 200 mangsa di Sabah, sedekad lalu dipercayai berpunca daripada kepanasan global. Selain penjelasan dari sudut sains, kita tahu bahawa segala kejadian itu berlaku atas kehendak dan kekuasaan Allah SWT. Dengan hanya mengata ‘kun fayakun (jadi maka jadilah)’ maka Allah SWT mampu berbuat apa saja.
Cerita tragis tragedi Ribut Tropika Greg tidak pernah tamat walaupun tidak ramai lagi yang berbual mengenainya. Bertahun berlalu, kejadian itu terus kekal di dalam ingatan ribuan mangsa yang terselamat...
**kejadian ni berlaku masa aku sekolah rendah..aku pun tak ingat sangat..tapi masa universiti dulu da sorg member aku dari sabah citer pasal tragedi ni...
01 May 2010 | 0 KoMeN |

0 KoMeN:

Post a Comment