twitter

- Tragedi kapal terbang Fokker - 15 Sept 1995
Suasana di Lapangan Terbang Tawau, Sabah, kecoh pada tengah hari Jumaat, 15 September 1995. Orang ramai yang berada di dalam dan sekitar lapangan terbang itu tergamam, lebih-lebih penduduk perkampungan setinggan di tepi kawasan itu.
Ketika jam menunjukkan jam 12.55 tengah hari, satu tragedi dahsyat berlaku di kawasan berkenaan. Pesawat Fokker 50 Penerbangan Malaysia (MAS) yang baru mendarat di lapangan terbang itu, terbabas arah sehingga merempuh kira-kira 20 rumah setinggan di Kampung Seri Menanti yang terletak hujung landasan.
Kejadian cemas itu menyebabkan penumpang menjerit panik di dalam pesawat. Mereka menyedari ada sesuatu yang tidak kena terhadap kapal terbang berkenaan.
Bagaimanapun, jeritan itu tidak lama apabila kira-kira 10 minit kemudian, satu letupan kuat kedengaran sehingga menggemparkan penduduk sekitar yang pastinya sama sekali tidak menyangka kemalangan seumpama itu akan berlaku pada hari berkenaan.
Selepas itu, penduduk yang masih terkejut menyaksikan tragedi itu melihat api mula menjulang di sebelah kanan pesawat. Letupan menyebabkan serpihan kayu dan pelbagai objek lain melayang ke merata arah sehingga mencederakan penduduk. Bahang api turut menyambar jasad sehingga menyebabkan tubuh melecur.
Pada jam 1.06 petang, bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu. Bersama tiga jentera dan 26 anggota, mereka bergegas ke tempat kejadian dan tiba di lokasi kemalangan empat minit kemudian.Mayat pertama dikeluarkan daripada bangkai pesawat pada jam 2.50 petang. Rempuhan pesawat terhadap 20 rumah setinggan menyebabkan sekurang-kurangnya 10 penduduk kampung itu cedera dan dikejarkan ke Hospital Tawau.
Operasi merekodkan seramai 34 daripada 53 orang yang berada di dalam kapal terbang berkenaan mati hangus manakala seorang penumpang masih belum ditemui.
Bagaimanapun, 18 orang yang sempat bergegas keluar menerusi pintu kecemasan sebaik pesawat berhenti bergerak, terselamat.
Sepasukan ahli patologi, forensik dan pakar pergigian tiba pada tengah hari, hari kedua kejadian untuk membantu polis mengenal pasti mayat menerusi rekod pergigian dan pelbagai tanda lain.
Bedah siasat kemudian mendapati hampir semua mangsa yang dikenal pasti terbunuh akibat terhidu asap tebal, gas combustion dan melecur serius. Semua yang terbunuh adalah penumpang, juruterbang dan anak kapal.
Pagi 17 September, empat pakar daripada Fokker Aircraft Company, Belanda tiba untuk membantu siasatan nahas pesawat Fokker 50 itu manakala kotak hitam pesawat itu dihantar ke London untuk dianalisis.
Majlis Perbandaran Tawau kemudian mengesahkan sebanyak 53 rumah musnah dalam nahas itu membabitkan 62 keluarga.
Akhirnya, pada 20 Mei 1998 iaitu selepas hampir tiga tahun, hasil siasatan mengenai punca tragedi kemalangan itu diumumkan kepada orang ramai.
Siasatan mendapati nahas itu berpunca daripada kesilapan manusia manakala pesawat Fokker 50 berada dalam keadaan baik dan bukan antara penyebab nahas.
Sebaliknya, kesilapan juruterbang dan kegagalan pembantunya memberi amaran selepas menyedari penerbangan mereka tidak mengikut prosedur, dikenal pasti sebagai punca utama nahas pesawat Fokker 50 MAS.
**tragedi ni memang aku tak ingat langsung..aku pun tak tau pernah terjadi ke tak kejadian ni sbelum ni..tapi after jumpa artikel berkenaan kejadian ni baru aku tau...sori pic utk tragedi ni tak ada..puas aku cari tapi tak jumpa...so tak dapat nk imagine mcmne kejadian ni berlaku...
01 May 2010 | 0 KoMeN |

0 KoMeN:

Post a Comment