twitter

- Tragedi Highland Tower - 11 Dis 1993

Kejadian 11 Disember 1993 itu menggemparkan seluruh negara dan mencatat sejarah terburuk dalam industri pembinaan Malaysia.
Sebaik kejadian, kawasan runtuhan dipenuhi pelbagai pihak berkuasa untuk menjalankan operasi menyelamat. Sebahagian besar penghuni adalah rakyat asing yang bekerja di negara ini. Antara yang terperangkap dalam runtuhan pangsapuri 50 unit itu ialah anak bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Musa Hitam, Carlos Musa dan isteri.
Bilik gerakan ditubuhkan petang itu dan pasukan mencari dan menyelamat mangsa digerakkan segera. Ratusan anggota polis, bomba dan pasukan penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikejarkan ke tempat kejadian.
Beberapa jam kemudian 124 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan kira-kira 30anggota tentera dan jurutera dari Kem Batu Cantonment dan Kem Wardieburn dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu.Dua helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu sebuah Nuri dan sebuah Alouette turut membantu usaha menyelamat.


Operasi berterusan dilakukan menyeluruh dan kira-kira jam 4.30 petang, pasukan menyelamat mendengar jeritan seorang wanita dan tangisan bayi dari bawah runtuhan itu.
Apabila melihat sebatang kayu dijolok keluar dari runtuhan berkenaan, mereka bergegas dengan penuh harapan ada mangsa yang selamat. Mereka menjenguk ke dalam lubang rekahan itu dan mendapati seorang wanita mendakap anaknya dan meminta diselamatkan.
Akhirnya mangsa pertama iaitu seorang bayi perempuan berusia 18 bulan, Nur Hamidah Najib, dikeluarkan dari timbunan konkrit diikuti seorang rakyat Jepun, Nakajima Shizue, 50.Mangsa ketiga iaitu rakyat Indonesia dikenali Umi Rashidah Khoruman, 22 yang juga ibu Nur Hamidah akhirnya berjaya dibawa keluar walaupun menghadapi sedikit kesulitan kerana rekahan runtuhan agak kecil.
Semua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan. Mata petugas terus bersinar mengharapkan lebih ramai penghuni terselamat.
Bagaimanapun, kira-kira jam 12 tengah malam, berita sedih diterima apabila wanita rakyat Jepun itu meninggal dunia kira-kira 10 jam selepas diselamatkan.
Hari pertama kejadian dan operasi menyelamat diakhiri dengan berita kematian seorang mangsa, dua terselamat dan puluhan lagi masih hilang di bawah timbunan konkrit.
Hari seterusnya, pasukan mencari dan menyelamat dari Britain dan Amerika Syarikat tiba untuk membantu diikuti sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama dua anjing pengesan turut menyertai operasi pada 13 Disember. T urut serta pasukan dari Singapura dan Jepun.Beberapa jam selepas kehadiran anjing pengesan pasukan Perancis itu, mereka mengesan kemungkinan ada mangsa terperangkap masih hidup. Kemahiran anjing pengesan itu turut disokong teknologi pengesan degup jantung Pasukan Penyelamat dan Bantuan Malapetaka (Dart) yang menunjukkan hasil sama.
Berikutan tragedi itu, semua penghuni dua blok pangsapuri berhampiran dan beberapa banglo sekitar kawasan itu diarahkan mengosongkan kediaman mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk.
HARI keempat operasi mencari dan menyelamat dijalankan dilalui dengan penuh kebimbangan oleh pasukan penyelamat.
Jika operasi gagal menjumpai mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan, semakin tipis harapan menemui mangsa masih hidup.
Empat hari selepas permulaan kisah tragis runtuhan pada jam 1.30 petang Sabtu itu, bau hanyir mayat manusia semakin kuat dan boleh dihidu pada jarak 150 meter dari tapak runtuhan pangsapuri.Pasukan penyelamat benar-benar mengejar masa memunggah timbunan konkrit dan besi untuk masuk ke dalam runtuhan itu dan mencari mangsa yang dipercayai masih hidup, berpandukan kepada ‘tanda-tanda kehidupan’ yang dikesan anggota Pasukan Keselamatan Awam Perancis dan anjing pengesannya, dua hari sebelum itu.Bagaimanapun dengan bau mayat yang semakin kuat, semua pihak bersiap sedia menghadapi kemungkinan peluang mengeluarkan mangsa hidup semakin tipis.

Pasukan penyelamat dari Jepun melaporkan mereka tidak dapat mengesan sebarang pergerakan di bawah runtuhan sebelah kanan blok pangsapuri itu, walaupun dengan menggunakan ‘fibrescope’ yang dilengkapi kamera.Sehingga hari kelima, pasukan penyelamat menjumpai enam mayat termasuk dua yang hancur menjadi cebisan daging dan tengkorak.
Lengan tangan kanan yang mempunyai gelang, satu tengkorak dan cebisan daging serta serpihan tulang ditemui Pasukan Penyelamat Malapetaka Jepun di tingkat lapan bahagian kanan bangunan pada jam 1.30 tengah hari.
Empat mayat yang reput dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan, dikesan Pasukan Penyelamat Malapetaka Singapura di tingkat yang sama. Pasukan penyelamat Perancis yang ditugaskan di bahagian kiri bangunan tidak menemui sebarang mayat sehingga lewat petang tetapi ada mendengar ketukan daripada mangsa terperangkap yang dipercayai masih hidup.
Pasukan penyelamat menemui enam lagi mayat termasuk mayat seorang kanak-kanak dalam timbunan runtuhan pangsapuri Highland Towers. Mayat itu ditemui berhampiran tangki air berdekatan tempat letak kereta di pangsapuri yang terbenam.Kemudian menemui beberapa lagi mayat termasuk mayat wanita yang reput terbenam kira-kira lapan meter di tempat letak kereta pada jam 7 malam. Kakinya yang putus ditemui berdekatan.Pada 20 Disember, 25 mayat termasuk seorang memeluk al-Quran, ditemui. Turut ditemui mayat seorang wanita memakai sari dan memeluk seorang kanak-kanak, dipercayai anaknya kira-kira jam 4.05 pagi.
Selepas 11 hari gerakan mencari dilakukan, akhirnya pasukan mencari dan menyelamat menghentikan gerakan mencari mangsa yang mungkin masih terperangkap sekitar jam 4.40 petang.
Empat puluh lapan mayat dicatat sebagai rekod akhir mangsa yang terkorban dengan hanya dua terselamat dalam tragedi terburuk dalam sejarah negara ini.
Blok A pangsapuri itu tumbang berikutan berlaku gelungsuran tanah akibat aliran air pada bukit curam di belakang ketiga-tiga blok kondominium itu disebabkan reka bentuk tembok penahan tanah yang tidak baik dan tidak mencukupi ketika pangsapuri itu dibina.
**masa kejadian ni, aku memang betol2 mengikuti perkembangannyer..tah nape tah aku minat sgt dgn kejadian ni..mungkin sbb dpt liputan meluas kot..aku ingat lg dlm kelas aku, dorg tampal artikel2 ni pasal kejadian ni...penuh papan kenyataan kelas aku..


01 May 2010 | 0 KoMeN |

0 KoMeN:

Post a Comment