twitter

- Tragedi kilang mercun meletup - 7 Mei 1991

Letupan paling kuat dan dahsyat dalam sejarah Malaysia berlaku pada petang Selasa, 7 Mei 1991 di Sungai Buluh, Selangor. Kekuatan letupan dan kesan kemusnahan yang dihasilkan menyebabkan tragedi itu turut digelar ‘Hiroshima Sungai Buluh’. Kesan letupan 200 tan belerang yang berpunca dari sebuah kilang mercun dirasai sehingga tujuh kilometer dari lokasi tragedy dan memecahkan cermin tingkap rumah di bandar Seri Menjalara serta Selayang. Kira-kira jam 3.45 petang secara tiba-tiba saja satu letupan besar terhasil dari satu kawasan di dalam kilang itu. Letupan kedua seterusnya menyusul kira-kira 10 minit kemudian. Sengsara itu masih belum berakhir apabila letupan ketiga dan yang paling kuat, berlaku jam 4 petang dan dirasai lebih empat kilometer. Lebih 20 letupan kemudian terus berlaku sehingga kepulan asap yang dipercayai paling dahsyat dalam sejarah negara boleh dilihat dari jarak lapan kilometer. Berpuluh pekerja yang kebanyakannya baru memulakan sesi tugas petang pada 45 minit sebelum itu kelihatan menyerbu pintu keluar kilang bagi menyelamatkan diri daripada dibakar rentung atau terus hancur akibat letupan berkenaan. Keadaan kelam-kabut terus berlaku apabila penduduk dan beberapa pihak yang berada berhampiran kilang melarikan diri bagi mengelak terkena serpihan batu, batang kayu dan besi yang berterbangan akibat letupan itu selain bahang api. Beberapa pihak yang gagal menyelamatkan diri akhirnya cedera terkena serpihan dan api itu.
Lapan jentera bomba termasuk dua dari Kem Tentera Sungai Buloh, Wilayah Persekutuan(2), Petaling Jaya (2) dan masing-masing sebuah dari Damansara Utama dan Shah Alam tiba seketika kemudian untuk memadamkan kebakaran dan menyelamat mangsa. Lebih 50 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran. Sembilan ambulans dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), lima dari Hospital Sungai Buloh berulang alik mengangkut mangsa yang parah untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Keprihatinan orang ramai menyebabkan ada mangsa dibawa ke hospital menggunakan lori dan van dalam keadaan berlumuran darah. Walaupun kebakaran sudah dipadamkan, anggota bomba tidak dapat meneruskan operasi mencari mangsa dengan mudah kerana khuatir letupan akan kembali berulang berikutan masih ada tiga tempat simpanan letupan bawah tanah di kilang itu. Dua daripada stor simpanan itu sudah meletup dengan meninggalkan kesan seperti kawah sedalam kira-kira enam meter. Api menyala semula di beberapa bahagian bangunan itu kira-kira jam 2.30 pagi dan anggota bomba terpaksa menyembur air bagi memadamkannya. Bagaimanapun, sehingga jam 5 pagi, tiada lagi letupan berlaku.
Sehari selepas letupan, gerakan mencari yang dilakukan bomba menemui 21 mayat yang terbunuh dalam tragedi letupan dan kebakaran kilang mercun di Sungai Buluh itu. Satu daripada mayat itu iaitu seorang ahli kimia dari Hong Kong yang bekerja di kilang itu, rentung. Pemeriksaan awal juga mendapati 83 orang cedera dan dirawat di beberapa hospital sekitar Kuala Lumpur. Polis, juga menerima aduan mengenai kehilangan enam penduduk tempatan. Selain itu, 37 rumah dan kilang serta tujuh motosikal musnah dalam kejadian ngeri itu. Polis bagaimanapun mengalami kesukaran mengesan jumlah sebenar pekerja yang hilang dalam letupan itu berikutan majikan tidak mempunyai daftar kehadiran tugas harian dan ada pekerja kilang berhampiran yang cedera atau belum melaporkan diri. Hari ketiga gerakan mencari mangsa dijalankan, pasukan penyelamat menghadapi ancaman baru berikutan hujan lebat selama sejam kira-kira jam 2.30 petang menyebabkan berlakunya tindak balas kimia di lokasi letupan sehingga menghasilkan gas beracun. Keadaan itu menyebabkan kira-kira 200 anggota penyelamat diarahkan beredar dari kawasan itu kerana khuatir gas itu memberi kesan kesihatan terhadap mereka di samping mengelak sebarang kejadian tidak diingini.Siasatan juga mendapati kebakaran di kilang mercun itu disahkan berpunca daripada bahagian makmal yang menjalankan kerja-kerja menguji mercun yang siap untuk dipasarkan. Kilang mercun dan bunga api itu disahkan beroperasi secara haram sejak 1978 malah ia juga bertindak menyalahi undang-undang apabila menggaji pekerja di bawah umur. Tragedi kilang mercun itu memberi sejarah besar kepada negara. Ia sekali gus mengubah polisi negara untuk terus mengharamkan sebarang aktiviti mercun termasuk sempena perayaan walaupun sebelum ini ia dibenarkan malah dihasilkan kilang di negara ini.
**ngeri aku baca artikel ni..siap dgn pic2 sekali...aku pun tak ingat kejadian ni berlaku bila..





01 May 2010 | 3 KoMeN |

3 KoMeN:

  1. Othman Juliana
    May 1, 2010, 11:46:00 PM

    Damn! Yes, that was my first word once i learned about this horrific event. Sangat geram pada owner kilang mercun tu sebenarnya. I was thinking, how could someone (owner) can ignore so many life. Lame right. Dan dari cerita mereka yang tinggal di Sg Buloh pada waktu kejadian-sewaktu letupan berlaku, sliding door, tingkap kaca pecah berkecai di taman-taman perumahan berhampiran.

  1. SaiF HaQieM
    May 5, 2010, 12:34:00 AM

    wah kak jue open report 4 dis case ke??investigate ek..???hahahaha

  1. Jebat
    Jun 13, 2012, 11:38:00 AM

    mohon dikongsi tuan

Post a Comment