twitter

- Tragedi pesawat MAS terhempas di Johor- 4 Dis 1977

Sekitar 7.21 malam pada 4 Disember 1977 apabila pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Boeing 737 MH653 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura.Seramai 93 penumpang antaranya pelancong asing bersama tujuh krew penerbangan berada di dalam pesawat berkenaan. Secara tiba-tiba menara kawalan LTAB menerima makluman daripada juruterbang pesawat bahawa terdapat situasi cemas yang berlaku di dalam penerbangan itu, kira-kira jam 7.54 malam. pesawat berkenaan terus hilang daripada radar menara kawalan. Segala usaha untuk mengadakan hubungan radio bagi menghubungi pesawat berkenaan juga gagal. Pesawat berkenaan terus hilang daripada radar menara kawalan. Segala usaha untuk mengadakan hubungan radio bagi menghubungi pesawat berkenaan juga gagal.Sementara itu, malam yang tenang dan damai menyelubungi beberapa kampung di Tanjung Kupang yang terletak berhampiran Selat Tebrau kira-kira jam 8.30 malam. Tidak lama kemudian, satu bunyian aneh yang berdesing seakan bunyi wisel yang kuat mula menggemparkan penduduk kampung. Ada antara mereka yang berlari ke luar rumah untuk memastikan bunyi aneh apakah yang mencemari keheningan malam itu. Ketika itulah mereka semua tersentak kekejutan – di hadapan mata mereka, kelihatan pesawat gergasi terbang dalam keadaan ‘bergoyangan’ dan amat rendah sehingga kelihatan seolah-olah berada betul-betul di atas pohon kelapa saja. Kegemparan di jiwa penduduk masih belum hilang ketika pesawat berkenaan tiba-tiba terbang memutar dan hampir menegak. Satu letupan kuat kedengaran sebelum lampu pesawat itu terpadam dan kapal terbang itu terus terjunam ke satu lokasi berhampiran kampung berkenaan. Pesawat berkenaan terhempas di permukaan tanah dan menggegarkan kawasan sekitar. Gegaran itu diiringi satu letupan teramat kuat dan api mula marak menjulang sehingga berpuluh meter ke udara. Serentak itu juga banyak barang dan serpihan pesawat melayang bertebaran ke merata arah malah sehingga ke lokasi yang jauh.
Berpuluh jentera bomba, ambulans dan kenderaan menyelamat bersama lebih 100 pihak berkuasa termasuk polis, tentera, bomba dan petugas hospital ke lokasi nahas sekitar jam 10 malam bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Pengawasan helikopter dari udara mendapati hempasan pesawat menjangkau lokasi luas sehingga 2.5 kilometer persegi malah ada kawasan yang menjadi lapang seumpama ‘padang jarak padang terkukur’ apabila banyak pohon bakau di kawasan itu tercabut dan patah dilanda pesawat. Gerakan mencari dan menyelamat segera dilakukan dan ketika itu jugalah pihak terbabit mula sedar bahawa pesawat berkenaan berkecai akibat terhempas dan tiada siapa yang terselamat daripada tragedi itu. Kenyataan itu lebih menyeramkan tatkala pasukan penyelamat mendapati bukan saja tiada mangsa yang berjaya diselamatkan malah jasad semua mereka juga hancur berkecai malah ada yang hanya ditemui sekadar cebisan daging. Pelbagai peralatan daripada pesawat termasuk buku, surat, gambar, pakaian dan barangan keperluan mangsa bertebaran ke merata arah di seluruh kawasan tragedi yang luas malah cebisan jasad mangsa dipercayai turut hilang akibat terjatuh di kawasan perairan. Kawasan sekitar juga mula diselubungi bauan mayat serta minyak pesawat dan hari itu, satu tragedi pesawat terhempas yang paling tragik dan dahsyat dicatat dalam sejarah hitam negara. Sekitar jam 5.40 pagi selepas tragedi pesawat Boeing 737 MH653 terhempas, pihak MAS mula memaklumkan mengenai tragedi menyayat hati itu kepada ahli keluarga dan rakan penumpang yang menanti dengan penuh gelisah di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS). Pengumuman itu disambut dengan perasaan pilu dan sayu apabila ahli keluarga dan rakan yang menanti itu diberitahu bahawa tiada mangsa yang ditemui selamat berdasarkan gerakan mencari yang dilakukan. Tragedi itu mengorbankan 73 rakyat Malaysia, tiga rakyat Australia, Inggeris (lima), Jerman (empat), Afghanistan (satu), India (tiga), Thailand (satu), Jepun (satu), Singapura (satu), Kanada (satu) dan tiga rakyat Indonesia, Amerika Syarikat (satu), Cuba (dua) dan Greece (satu). Selain mengorbankan seorang usahawan Jepun, Tomio Gotto, dan Duta Cuba ke Malaysia, Mario Garcia serta isterinya, tragedi pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid, Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad, dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican. Selain itu, dua orang pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime turut terkorban bersama-sama puluhan penumpang dan petugas kabin. Tiada seorang pun yang terselamat dalam pesawat yang dipandu juruterbang Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu. Seterusnya, mayat semua mangsa yang ditemui dimasukkan dalam tujuh keranda dan dikebumikan di satu tapak perkuburan besar di Jalan Kebun Teh berikutan sukar untuk mengenalpasti identiti setiap mangsa.
Tragedi itu juga memberi impak dan tamparan besar kepada operasi pesawat dan lapangan terbang berikutan ramai pihak beranggapan yang kemalangan itu berpunca daripada kurangnya kawalan keselamatan di lapangan terbang. Menyoroti punca nahas itu, ramai pihak percaya yang juruterbang pesawat berkenaan dipaksa pihak perampas untuk terbang terus ke Singapura dan tidak mendarat di Subang untuk mengisi minyak. Perampas terbabit juga dipercayai turut menyeludup masuk bahan letupan di dalam pesawat menyebabkan tragedi itu menjangkau kawasan yang amat luas apabila terhempas. Bagaimanapun, sehingga kini, tiada bukti kukuh mengenai kejadian sebenar yang berlaku ketika penerbangan berkenaan sekali gus meninggalkan punca tragedi itu kekal sebagai misteri sehingga kini. Memorial memperingati tragedi pesawat Boeing 737 MH653masih dikunjungi ahli keluarga mangsa di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.

**time ni aku tak da lagi..huhuhuhu


01 May 2010 | 0 KoMeN |

0 KoMeN:

Post a Comment